Pelumba Repsol Honda tersebut telah melakar enam kejuaraan dunia dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Sepanjang memulakan karier dalam perlumbaan dunia, pelumba berusia 24 tahun itu telah me­raih kemenangan menerusi kate­­gori 125cc (2010), kelas Moto2 (2012) dan empat gelaran utama MotoGP.

Bagaimanapun, Marquez te­tap memandang se­­­rius keupayaan Du­cati yang memberi tentangan hebat mene­rusi pelumba terbaik­nya, Andrea Dovizioso selain Jorge Lorenzo yang sudah mula serasi dengan pelarasan jentera Itali itu.

Selain itu, Marquez enggan memandang mudah keupayaan pasukan Yamaha Tech 3 yang dikemudi oleh Johan Zarco serta Valentino Rossi (Movistar Yamaha) yang telah mempamerkan tunggangan terbaik pada sesi pramusim yang berlangsung di Jerez, Sepanyol dan di Sepang, Malaysia baru-baru ini.

“Secara jujurnya saya tidak memikirkan soal gelaran atau sasaran. Saya hanya mahu terus gembira dalam setiap perlumbaan. Saya ha­nya ingin mengejar cita-cita yang te­lah saya impikan sejak berusia lima tahun.

“Kini saya berusia 24 tahun dan saya berjaya melakukannya. Juste­ru, saya tidak tergesa-gesa, malah hanya ingin fokus kepada setiap perlumbaan. Saya mempunyai pasukan yang terbaik dan selesa bersama mereka.

“Saya sentiasa sedar gelaran dunia ini tidak akan kekal kerana kami hanya mampu meraikan kejayaan ini sehingga bulan Disember dan selepas ini kami akan bermula dengan angka kosong untuk mempertahankannya.

“Saya tidak akan berhenti berusaha dan akan terus bekerja keras seawal sesi pramusim. Seperti kita lihat tahun ini, kami perlu fokus kepada semua pelumba kerana setiap daripada mereka mampu melakukan kejutan. Oleh itu, saya perlu bersiap sedia de­ngan sebaik mungkin,” katanya.

Pada musim ini, sepanjang 18 perlumbaan, Marquez telah melakar enam kemenangan dan hanya sekali gagal menamatkan saingan iaitu di Argentina. – Agensi