Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata penganjur sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap kawalan keselamatan lalu lintas di jalan yang dilalui peserta.

"Penganjur hanya mengemukakan permohonan untuk menyewa padang di Kompleks Sukan Pandamaran kepada MPK dan menjadi tanggungjawab penganjur untuk menjamin keselamatan peserta.

"MPK di hari yang sama pula terlibat dengan pelbagai program sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-72 di Istana Alam Shah di sini dan tidak dapat menyediakan bantuan yang sewajarnya," katanya pada majlis Pecah Tanah Bulatan 100 di sini hari ini.

Dalam kejadian rempuhan oleh kereta jenis Proton Iswara pada 4.30 pagi di Jalan Kapar Batu 2 itu, Evelyn Ang Gek Suan, 44, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan rahang, manakala dua lagi pelari, Ahmad Hadafi Jus, 44, dan Amiruddin Hamid, 37, hanya cedera ringan di bahagian kaki.

Tambah Mohamad Yasid, penganjur juga dilihat tidak melakukan hebahan yang meluas kepada penduduk sekitar kawasan yang menjadi laluan peserta larian itu.

"Penganjur perlu meletakkan antaranya papan tanda, kawalan keselamatan di setiap persimpangan dan kain rentang di sepanjang laluan untuk mengingatkan pengguna jalan raya bahawa acara larian sedang dijalankan," katanya.

Bagaimanapun Mohamad Yasid berkata pihaknya tidak akan menghalang mana-mana penganjur untuk mengadakan acara sedemikian pada masa depan tetapi berharap penganjur dapat memastikan kawalan keselamatan yang cukup kepada para peserta. - Bernama