Disebabkan itu, Malaysian Tigress, pasukan No. 22 dunia, terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-2 kepada pasukan ranking kelapan dunia yang berstatus naib juara Piala Dunia 2018 itu pada aksi di Ban­bdrige, Ireland Utara.

Dhaarma berpendapat, pe­ngadil tidak sepatutnya menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada Ireland seawal minit keempat hingga membolehkan lawan tersebut membuka tirai jaringan menerusi Beth Barr, sebelum Kathryn Mullan menggandakan kedudukan pada minit ke-39.

“Kami melepaskan satu gol kontroversi kerana bagi saya, ia bukan pukulan sudut penalti tetapi apa boleh buat kerana pengadil sudah memberikannya kepada Ireland.

“Gol kedua Ireland diperoleh disebabkan kekeliruan barisan pertahanan yang sepatutnya boleh dielak daripada berlaku.

“Saya juga merasakan kami patut mendapat pukulan sudut penalti selang beberapa minit selepas kami berjaya menja­ringkan gol untuk merapatkan jurang 1-2 tetapi malangnya pengadil tidak melihat si­tuasi bola terkena pemain pertahanan Ireland.

“Jika tidak, mungkin kami mendapat peluang untuk sekurang-kurangnya menjaringkan gol dan mencatat keputusan seri. Sayang sekali kami terlepas peluang untuk membuat satu kejutan ke atas pasukan ranking 14 tangga lebih tinggi daripada kami,” katanya.

Gol tunggal Malaysian ­Tigress diperoleh menerusi ja­ringan padang Siti Zulaika Hussain ketika perlawanan berbaki lima minit lagi untuk tamat.

Meskipun tewas tetapi ia boleh dianggap satu keputusan positif buat skuad negara, yang kini sudah membuktikan mereka mampu mencabar lawan-lawan ranking lebih tinggi pada kejohanan itu dalam misi merebut salah satu daripada dua tiket ditawarkan ke pu­singan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020.