Keputusan itu memboleh­kan Malaysian Tigress yang menduduki ranking ke-22 dunia, menjamin tempat ke pusingan playoff sebagai naib juara Kumpulan A dengan enam mata hasil dua kemenangan selepas terdahulu membelasah Singapura 12-0 kelmarin.

Taktikal ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang menggunakan corak permainan agresif menyerang dari awal permainan dilihat antara kunci utama kejayaan menewaskan Republik Czech.

Gol pertama Malaysian Tigress hadir menerusi asakan tiga penyerang negara yang mengepung seorang pemain pertahanan Republik Czech menyebabkan dia membuat kesilapan sehingga menghadiahkan bola kepada Wan Norfaeizah Md. Saiuti.

Kesempatan itu disempurnakan sebaiknya oleh Wan Norfaiezah untuk menewaskan penjaga gol Republik Czech bagi gol pertama pasukan negara pada minit ke-28.

Dua lagi gol skuad negara diperoleh melalui pukulan sudut penalti menarik yang disempurnakan oleh Fazilla Sylvester Silin dan jaringan padang Fatin Shafika Mahd. Sukri masing-masing pada minit ke-47 serta 54.

Republik Czech yang turut mara ke pusingan playoff sebagai pasukan tempat ketiga Kumpulan A, mendapat jaringan tunggal menerusi Adela Lehovcova pada minit ke-47.

Malaysian Tigress akan berdepan pasukan tempat ketiga daripada Kumpulan B pada pusingan playoff esok dan pemenang aksi tersebut meraih tempat ke separuh akhir.

Sebagai rekod, dua pasukan yang berjaya melangkah ke pentas final kejohanan itu akan meraih tiket untuk beraksi pada peringkat kelayakan akhir ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun yang dijadualkan berlangsung Oktober depan.