Kemenangan itu merupakan tiga mata pertama buat Malaysian Tigress dan lebih manis ia dilakukan ke atas Jepun, lawan yang tewas 0-2 kepada skuad negara sewaktu edisi dua tahun lepas di Singapura.

Pujian harus diberikan kepada semua pemain negara yang bertungkus lumus memastikan kemenangan tercapai selepas kecewa dalam dua aksi, pertama 1-3 kepada Korea Selatan dan ditewaskan China 1-3.

Penjaga gol, Farah Ayuni Yahya muncul wira apabila menyelamatkan pukulan pe­nalti pemain Jepun untuk memastikan Malaysian Tigress mempertahankan kedudukan 3-2 sehingga tamat perlawanan tersebut.

“Saya tidak mahu pasukan kalah ketika kami mendahului 2-1. Saya percaya dan yakin dengan diri sendiri, itulah kunci saya dapat menyelamatkan pu­kulan pe­nalti Jepun.

“Saya mahu Malaysia bermain penentuan tempat ketiga dan empat. Tiga mata ini sekali gus mencerahkan peluang ka­mi,” kata Ayuni yang menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah hari lahir paling bermakna selepas genap usia 29 tahun kelmarin.

Malaysian Tigress, No. 22 dunia, memperoleh tiga gol menerusi Nur Zafirah Aziz pada minit pertama, Fatin Shafika Mahd. Sukri (m-19) dan Nuraslinda Said (m-30).

Jepun yang dalam persiapan ke Piala Dunia 2018 di London, Julai depan, sekadar meraih dua gol menerusi Yui Ishibashi dan Minami Shimizu pada minit kesembilan serta ­ke-34.

Malaysian Tigress mampu mencapai impian ber­aksi pada tempat ketiga dan keempat sekiranya berjaya mencatatkan keputusan seri atau menang ke atas juara bertahan, India pada aksi terakhir hari ini.

Sekiranya tewas, skuad negara masih akan ke penentuan tersebut seandainya Jepun tewas kepada pasukan pilihan, China hari ini.

“Peluang kami tipis untuk kalahkan India, sama seperti Jepun hari ini (semalam) tetapi ia tetap berlaku.

“Kami cuba sedaya upaya untuk menewaskan India esok (hari ini),” kata ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah.