Kegagalan di pentas Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India yang berakhir kelmarin menyaksikan Malaysian Tigers terpaksa menerima kedudukan baharu iaitu No.13 dunia berbanding ranking ke-12 sebelum ini.

Menurut Subahan, beliau tidak risau kerana yakin skuad negara akan kembali melonjak dari No. 13 dunia apabila FIH mengemaskini semula kedudukan ranking awal tahun depan dengan mengambil kira pungutan mata pada Sukan Asia 2018.

“Saya sudah dapat agak ran­king jatuh ke tangga 13 dunia kerana kita gagal melangkah ke pusingan seterusnya pada Piala Dunia 2018, namun perlu faham bahawa ia belum mengambil kira pungutan mata sewaktu Sukan Asia 2018.

“Pengiraan mata Sukan Asia akan dibuat awal tahun depan selepas berakhirnya semua kejohanan benua yang lain. Jadi, ia akan melonjak balik Malaysian Tigers dan mungkin boleh naik hingga No.11 dunia.

“Saya tidak risau mengenai kedudukan ranking kerana kita pernah kalahkan pasukan No. 5 dunia, India dan pasukan No. 8 dunia, New Zealand. Kanada di ranking lebih tinggi pun kita pernah kalahkan,” katanya.

Subahan menegaskan, beliau lebih risau mengenai prestasi pasukan kerana cuma ada tempoh empat bulan lagi sebelum pusingan kelayakan Sukan ­Olimpik 2020 bermula di Kuala Lumpur iaitu April tahun depan.

“Ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki, misalnya kesilapan bahagian pertahanan, ke­tajaman menjaringkan gol dari segi jaringan padang,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Subahan turut hadir pada majlis penghargaan skuad hoki lima sebelah (5’s) negara yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 di Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Lumpur semalam.

Seramai sembilan pemain skuad 5’s negara yang menjulang nama Malaysia di Buenos Aires, Argentina pada Oktober lalu menerima insentif RM1,000 seorang.