Ia disebabkan Malaysian Tigers gagal menewaskan Pakis­tan apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 pada aksi kedua Kumpulan D di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India kelmarin.

Situasi itu ternyata tidak memihak kepada skuad negara yang kini menghuni tangga tercorot Kumpulan D disebabkan perbezaan jumlah jaringan gol yang besar ekoran kekalahan teruk 0-7 kepada Belanda sewaktu aksi pembukaan, Rabu lalu.

Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Roelant Oltmans sedar anak-anak buahnya bakal berdepan misi yang dianggap amat sukar, namun tetap optimis akan memberikan segala-galanya dalam usaha mencipta kejutan terbesar pada kejohanan kali ini.

“Jerman mendahului Kumpulan D dengan enam mata selepas menang 4-1 ke atas Belanda kelmarin. Kami sedang berdepan tugas paling mencabar untuk cuba melayakkan diri ke pusi­ngan seterusnya,” katanya.

Seandainya keajaiban berlaku dengan menewaskan Jerman, Malaysian Tigers tetap perlu mengharapkan Belanda ‘ber­kenduri gol’ lebih daripada tujuh jaringan ke atas Pakistan pada aksi terakhir Ahad ini.

Dalam perkembangan sama, Oltmans berharap penyudah lebih tajam mampu dijelmakan terutama dari aspek pukulan sudut penalti yang menyaksikan skuad negara hanya menyempurnakan satu daripada enam peluang yang dimiliki dalam perlawanan menentang Pakistan kelmarin.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti ke atas Pakistan. Peluang kami akan lebih cerah jika dapat menjaringkan lebih banyak gol daripada pukulan sudut penalti,” jelasnya.

Sekiranya tewas kepada Jerman, skuad negara akan beraksi dalam penentuan empat kelompok tercorot dalam aksi klasifikasi tempat ke-12 hingga 16 sekali gus gagal mencapai sasaran menjadi 10 pasukan terbaik.