Seperti dijangka, pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee merombak kesebelasan utama dengan melakukan lapan pertukaran berbanding ketika Malaysia mencatat kemenangan bersejarah ke atas Korea Selatan minggu lalu.

Skuad muda Harimau Malaya terlebih dahulu menembusi gawang pasukan Asia Barat itu selepas pemain Selangor, Syahmi Safari menjaringkan gol cantik di luar kotak penalti pada minit ke-20.

Malaysia berpeluang untuk melebarkan kelebihan gol menerusi R. Kogileswaran dan Adib Zainuddin berselang tiga minit kemudian tetapi percubaan mereka berjaya diselamatkan benteng pertahanan lawan.

Tersentak dengan asakan bertali arus Malaysia, Bahrain memperkemaskan jentera serangan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi kapten, Mohamed Hardan pada minit ke-33.

Hamad Alhamsan terus menghukum kelekaan benteng pertahanan Malaysia dengan menanduk masuk gol kedua Bahrain hasil sepakan penjuru pada minit ke-37.

Kim Swee melakukan pertukaran dengan memasukkan Akhyar Rashid dan Rodney Calvin Akwensevie untuk mengekang asakan Bahrain pada babak kedua.

Hardan sekali lagi menjadi ‘duri dalam daging’ buat Malaysia selepas meledak gol kedua peribadinya dan ketiga untuk Bahrain dengan penyudah cantik pada minit ke-89.

Pengadil perlawanan kemudiannya menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad negara pada masa kecederaan selepas Akhyar dijatuhkan dalam kotak penalti.

Penyerang gantian, Safawi Rasid berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut dan keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Meskipun tewas, kedudukan Malaysia selaku juara Kumpulan E tidak terjejas apabila memiliki kelebihan rekod pertemuan ke atas Korea Selatan yang menyaksikan skuad negara menang 2-1.

Malaysia akan bertemu Jepun pada pusingan 16 terbaik di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, Jumaat ini.

“Kami tidak bermain dengan baik dan beberapa pemain yang diberi peluang untuk beraksi pada perlawanan ini tidak menampilkan aksi memberangsangkan.

“Saya telah melakukan lapan pertukaran dan saya tidak terkejut dengan keputusan ini. Saya harap mereka dapat bangkit pada perlawanan menentang Jepun nanti,” ujar Kim Swee.