Pakar flick pasukan Malaysian Tigers itu dilihat semakin mencapai pres­tasi terbaik­nya selepas bebas sepenuhnya daripada kecederaan hamstring dialami dua bulan lalu.

Ia terbukti apabila Razie, 31, berjaya menyem­purnakan satu pukulan sudut penalti dalam kemenangan 4-2 ke atas New Zealand pada aksi persahabatan terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lepas.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu turut memainkan peranan penting dengan mencipta satu gerakan gol buat rakan sepasukannya dalam perlawanan tersebut.

“Saya tiada dalam senarai ke Piala Dunia 2018 jika tidak cergas 100 peratus. Sekarang saya dalam keadaan terbaik dan pulih sepenuhnya.

“Tiada masalah lagi dan saya percaya mampu untuk menggalas tugas serta tanggungjawab yang akan diberikan oleh ketua jurulatih selepas ini ke­rana kami sedia maklum pasukan-pasukan dalam Kumpulan D amat kuat,” katanya.

Kepimpinan Razie, 31, mengemudi benteng pertahanan bersama-sama kapten skuad negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib amat penting dalam misi mencatat keputusan positif ke atas Belanda dan satu lagi gergasi Eropah yang menghuni ranking keenam dunia, Jerman.

“Atas kertas, memang mereka lebih kuat daripada kami, tetapi apa sahaja boleh terjadi apabila di atas padang. Kami akan fokus kepada setiap satu perlawanan terutama ke atas pasukan yang sepatutnya kami boleh menang,” jelasnya.

Malaysian Tigers, No. 12 dunia, tidak boleh tewas kepada pasukan terakhir dalam Kumpulan D iaitu Pakistan (No. 13 dunia) jika mahu mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

Skuad bimbingan Roelant Oltmans akan melakar kejutan terbesar ke­­johanan seandainya mam­pu mencatatkan se­kurang-kurangnya keputusan seri ke atas Belanda yang merupakan naib juara Piala Dunia 2014 dalam aksi pertama, Sabtu ini.