Walaupun dijangka berdepan tugas getir selepas diundi menentang pasukan pilihan kedua kejohanan, skuad negara dilihat lebih bersemangat dan berkeyakinan tinggi selepas menewaskan India 3-2 pada aksi kumpulan 1D kelmarin.

Hanya satu mata sudah cukup untuk melayakkan pasukan Malaysia mara ke pusingan suku akhir, meskipun diaibkan oleh China 0-5 pada perlawanan pertama Ahad lalu.

Menurut ketua pasukan negara, Goh Soon Huat, perkara penting yang di­terapkan kepada rakan-rakan sepasukan ialah beraksi tanpa tekanan bahkan tidak gentar berdepan pemain-pemain bintang dari negara Matahari Terbit itu.

“Tidak kira siapa pun lawan kami, saya percaya skuad negara sudah bersedia berjuang dan menyajikan aksi terbaik. Sebagai ketua pasukan, saya bertanggungjawab untuk meningkatkan semangat dan motivasi rakan-rakan sepasukan untuk beraksi tanpa pe­rasaan takut.

“Mereka perlu tampil yakin kerana perasaan gentar hanya akan melemahkan diri. Skuad Jepun memiliki ramai pemain bertaraf bintang, namun kami mempunyai sokongan seluruh rakyat Malaysia dan kami berjanji akan memberikan aksi terbaik,” katanya.

Perlawanan perseo­rangan lelaki menyaksikan pemain negara berdepan dengan jaguh No. 1 dunia, Kento Momota manakala Nozomi Okuhara iaitu bintang No. 2 dunia pula bagi acara perseorangan wanita.

Jepun turut menyenaraikan pasangan No. 2 dunia bagi acara beregu lelaki iaitu Takeshi Kamura-Keigo Sonoda serta gandingan No. 3 dunia bagi acara beregu campuran, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui peluang Malaysia untuk layak pada saingan separuh akhir tipis, namun tidak menolak kemungkinan anak-anak buahnya mampu melakarkan kejutan.

“Atas kertas, kami mempunyai peluang tipis untuk menewaskan Jepun tetapi selepas menang ke atas India, para pemain sangat bersemangat untuk melakarkan kejutan dan sedia memberi tentangan sengit terhadap Jepun.

“Harapan peribadi say, para pemain dapat me­nyajikan aksi terbaik pada perlawanan esok. Saya mahu mereka menge­rahkan segala-galanya di atas gelanggang. Platform ini juga diharapkan dapat meningkatkan lagi mutu permainan, strategi dan sebagainya kepada para pemain,” ujarnya.