Ia merupakan kenyataan Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria susulan penyingkiran negara daripada saingan Piala Thomas selepas kekalahan 1-3 Malaysia kepada Indonesia pada perlawanan suku akhir di Arena Impact, Bangkok Thailand kelmarin.

“Kita akan pulang dan membuat post mortem (terhadap kekalahan). Besar kemungkinan kita perlu bergantung kepada satu set pemain baharu. Oleh kerana kita harus menuju ke depan, bergantung kepada kumpulan pemain yang sama tidak akan memberikan kita masa depan,” katanya kepada media selepas kekalahan Malaysia de­ngan Indonesia kelmarin.

Bagaimanapun menurut Norza, BAM mahu mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lee Chong Wei yang tidak pernah gagal menghadiahkan sesuatu kepada Malaysia walau pada usia 36 tahun.

Katanya, tanggungjawab besar kini terletak pada bahu BAM untuk mempersiapkan pemain-pemain muda negara seperti Lee Jii Zia, Leong Jun Hao dan Aaron Chia untuk cabaran mendatang bagi menggantikan Chong Wei.

Pada perlawanan kelmarin, Malaysia bermula cemerlang dengan memperoleh mata pertama menerusi Chong Wei yang menewaskan pemain muda Indonesia Anthony Sinisuka Ginting 21-19, 21-16.

Bagaimanapun, rentak positif Chong Wei tidak dapat diteruskan oleh pemain-pemain negara yang lain menyebabkan negara gagal meneruskan cabaran pada peringkat separuh akhir.

Menurut Norza, jika pasangan beregu negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menewaskan lawannya dan memberikan mata kedua kepada negara semalam, Malaysia berkemungkinan akan mengalami nasib berbeza.

– Bernama