Sebagai rekod, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe mencipta kejutan apabila berjaya mengikat skuad Gajah Perang itu dengan keputusan 0-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lepas.

Susulan itu, Cheng Hoe berharap momentum yang sama bakal diteruskan para pemain, namun pada masa sama perlu berwaspada de­ngan jentera serangan Thailand yang dijangka ‘mengamuk’ nanti.

“Kita sedar kualiti serangan yang dimiliki Thailand memandangkan mereka berjaya meledak 14 gol pada saingan ini terutamanya apabila beraksi di depan penyokong sendiri di Stadium Rajamangala.

“Buat masa ini tiada apa yang kami boleh perbaiki tetapi apa yang saya harap­kan daripada barisan pemain adalah kekal fokus dan disiplin sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

“Secara peribadi, saya boleh katakan beberapa pemain Thailand seperti Adisak (Kraisorn), Sanrawat (Dechmitr), Nurul (Sriyankem) dan Supachai (Jaided) antara yang perlu diawasi pada perlawanan itu nanti,” katanya pada sidang akhbar di Bangkok semalam.

Cheng Hoe turut mengakui kejayaan pasukan negara mara ke pusingan separuh akhir juga boleh dianggap sebagai keputusan cemerlang tetapi tidak boleh terus berpuas hati kerana sasaran yang diletakkan adalah untuk layak ke pentas akhir.

“Semangat pasukan kini membara dan sangat bersedia untuk mengharungi perlawanan esok. Malah, kami juga bebas daripada kecederaan tetapi situasi Syazwan (Andik) dan (Muhamadou) Sumareh akan diputuskan pada saat-saat akhir kerana mereka masih belum cergas sepenuhnya.

“Apa yang pasti, saya akui kejayaan meraih tempat ke peringkat separuh akhir kembali mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia Tenggara.

“Secara peribadi, ini merupakan skuad yang cukup baik dengan kombinasi pemain junior dan senior. Saya percaya masa depan pasukan ini cukup cerah tanpa mengira keputusan esok,” katanya.