Langkah kanan dimulakan oleh kapten pasukan, Datuk Lee Chong Wei yang mengutip mata pertama setelah merealisasikan mimpi ngeri yang diramalkan oleh Vladimir Malkov dengan kemenangan 21-9, 21-6.

Mata kedua dikutip gandi­ngan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang terpaksa berhem­pas pulas se­belum menundukkan pasa­ngan Rusia, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov 21-18, 21-19.

Rentak cemerlang diteruskan pemain perseorangan kedua, Lee Zhi Jia apabila tanpa belas kasihan menghancurkan harapan Rusia untuk bangkit de­ngan mengalahkan Sergey Sirant 21-13, 21-16.

Kedudukan selamat tersebut bagaimanapun tidak membuatkan Malaysia ingin beri muka kepada Rusia apabila terus menambah mata menerusi beregu, Aaron Chia-Teo Ee Yi dengan keputusan 21-16, 21-9.

Rusia akhirnya kempunan ma­ta setelah Iskandar Zulkarnain melengkapkan kemena­ngan ber­sih buat negara dengan keputusan 21-9, 21-12 ke atas pemain berusia 19 tahun, Rodion Alimov.

Berbangga dengan aksi yang dipamerkan barisan negara, Chong Wei berharap ia dapat melonjakkan semangat mereka untuk terus mengutip mata pada perlawanan-perlawanan akan da­tang.

“Kami turunkan barisan ter­kuat hari ini (semalam) kerana pemain-pemain Rusia gemar me­ngasak dan memiliki tenaga yang luar biasa.

“Kemenangan ini penting bagi meningkatkan semangat dan mo­­ral barisan pemain negara untuk menghadapi lebih banyak cabaran pada perlawanan sele­pas ini.

“Esok (hari ini), kami akan berjumpa dengan Algeria sebelum membuat perhitungan besar dengan juara bertahan, Denmark. Kami akan bincang bersama rakan sepasukan me­ngenai strateginya nanti,” kata­nya.