Jumlah tersebut bagaimanapun hanyalah untuk Sukan SEA yang dianjurkan di negara luar memandangkan kontinjen paling besar yang pernah dicatatkan ialah sewaktu Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dengan jumlah seramai 1,234 orang.

Chef de Mission (CDM) Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, jumlah tersebut adalah lebih besar dari kontinjen negara ke sukan sama pada 2007 di Korat, Thailand iaitu sebanyak 1,114 orang.

“Kontinjen yang paling ramai kita pernah hantar ialah sewaktu kita menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017. Kita menghantar kontinjen paling ramai untuk temasya sama yang dianjurkan oleh negara jiran ialah di Korat, Thailand pada 2007.

“Jadi di Filipina ini akan mengatasi temasya tahun 2007. Ini kerana jumlah sukan yang dipertandingkan banyak dan kita turut mengambil bahagian dalam 51 jenis sukan.

“Setakat ini jumlah kontinjen yang kita telah daftarkan berjumlah 1,300 orang. Jika ada pengurangan daripada jumlah tersebut, saya fikir jumlah kontinjen yang kita hantar adalah lebih banyak dari 2007,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengurus pasukan Sukan SEA 2019 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Megat menjelaskan jangkaan yang diletakkan terhadap para atlet untuk meraih pingat sebanyak mungkin turut tinggi memandangkan Malaysia masih memegang reputasi selaku juara keseluruhan dua tahun lalu.

“Apabila kita menghantar kontinjen yang ramai, sudah tentu kita mahu hasil yang sepadan,” jelasnya. - K! ONLINE