Malaysian Tigers sekali lagi terpaksa akur dengan kehandalan pa­sukan No. 1 dunia itu apabila tewas 1-3 pada aksi kedua di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak malam tadi.

Skuad negara yang menghuni ranking ke-12 dunia, dilihat gagal mempamerkan corak permainan sebenar terutama ketika melancarkan serangan balas pantas kerana Australia bermain dengan disiplin tinggi menutup segala ruang.

Ia terbukti apabila Malaysian Tigers cuma memperoleh dua pukulan tepat ke arah gawang Australia selain satu pukulan sudut penalti berbanding lawan yang mendapat 15 percubaan tepat termasuk lima pukulan sudut penalti sepanjang aksi itu.

Skuad bimbingan Colin Batch itu memulakan perlawanan dengan agresif menerusi serangan bertali arus hingga memperoleh gol pembukaan menerusi Corey Weyer pada minit ke-10.

Malaysian Tigers berdepan tugas sukar untuk bangkit dalam aksi itu selepas Kookaburras berjaya menggandakan kedudukan melalui Dylan Wotherspoon pada minit ke-29.

Peluang anak-anak buah Stephen Van Huizen semakin tertutup selepas Aaron Kleinschmidt meledak gol ketiga buat Australia pada minit ke-43.

Biarpun skuad negara berjaya menjaringkan satu gol menerusi Muhammad Marhan Mohd. Jalil pada minit ke-53, namun ia sudah terlewat apabila kedudukan 1-3 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Walaupun tewas dan gagal meraih tiga mata, namun barisan pemain Malaysian Tigers wajar dipuji ke­rana berjaya mematahkan banyak serangan termasuk empat pukulan sudut penalti Australia pada perlawanan itu.

Skuad negara yang menang 4-1 ke atas ranking ke-10 dunia, Ireland kelmarin, akan meneruskan aksi ketiga menentang juara Sukan Olim­pik 2016 yang juga pasukan No. 2 dunia, Argentina esok.