Pasukan lelaki negara diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan, Thailand dan Myanmar, sekali gus mengelak daripada bertemu jaguh Asia dan dunia seperti China, Indonesia, Jepun dan Korea.

China selaku pilihan pertama pada kejohanan Berpasukan Asia itu diundi dalam Kumpulan A bersama Hong Kong dan Singapura. Jepun pula di­letakkan dalam Kumpulan B bersama Korea, Nepal dan Kazakhstan.

Sementara itu, Kumpulan D pula melibatkan skuad Indonesia, India, Filipina dan Maldives.

Pada majlis undian yang dijalankan di Hotel Royale Signature di Alor Setar semalam, pasukan wanita Malaysia diundi dalam Kumpulan Y bersama Thailand, Vietnam dan Fi­lipina.

Jepun selaku pilihan pertama kejohanan berada dalam Kumpulan A bersama India dan Hong Kong, manakala China yang diletakkan selaku pilihan kedua bakal bersaing dengan Indonesia dan Singapura dalam Kumpulan Z.

Pilihan ketiga, Korea Selatan diundi dalam Kumpulan X bersama Taiwan dan Maldives.

Sebanyak empat pasukan terbaik bakal layak beraksi pada Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Skuad Thailand bagai­manapun sudah layak secara automatik bersandarkan statusnya selaku tuan rumah.

Mengulas perkara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai berkata, hasil undian itu ternyata sesuatu yang baik untuk kem negara.

“Untuk pasukan wani­ta, saya fikir kita tidak berdepan masalah untuk layak ke suku akhir. Bagaimanapun, kita berharap mereka mampu untuk menundukkan Thailand bagi berada di kedudukan teratas kumpulan untuk mendapat undian lebih baik pada suku akhir.

“Begitu juga dengan skuad lelaki. Laluan kita tampak mudah tetapi jangan terleka dengan Thailand kerana pasukan itu ibarat ‘kuda hitam’ yang mampu meranapkan harapan Malaysia menjuarai Kumpulan C, sekali gus berdepan laluan berliku pada undian pe­ringkat suku akhir nanti,” katanya.