Apa tidaknya, Malaysia merupakan pasukan ranking terendah kejohanan iaitu No. 12 dunia berbanding Argentina yang menduduki tangga kedua dunia, di belakang Australia.

Lebih mengagumkan, skuad negara terlebih dahulu berjaya merobohkan kubu Argentina sebanyak dua kali menerusi jaringan Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abd. Jalil dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-20 serta 28.

Kecemerlangan penjaga gol gantian, Muhammad Hafizuddin Othman menggagalkan penalti stroke Juan Gilardi pada minit ke-30 menjadi antara faktor utama kejayaan skuad negara biarpun Argentina berjaya juga menjaringkan satu gol melalui Diego Paz dua minit kemudian.

Ketua jurulatih Malaysia, Stephen Van Huizen memuji tahap disiplin tinggi dan kesungguhan mahu menang dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang perlawanan tersebut.

"Saya tidak kisah berapa gol yang terhasil dan pukulan sudut penalti diraih kerana kami menang perlawanan ini. Semua pemain layak meraih kemenangan ini," katanya.

Kemenangan itu membolehkan peluang skuad negara ke pentas final musim ini terus terbuka kerana kini menghuni tangga ketiga, sama mata dengan Argentina yang menduduki tempat kedua berdasarkan kelebihan perbezaan gol.

Tiga mata berharga itu tentunya meningkatkan motivasi para pemain untuk meneruskan kemenangan dengan menewaskan India pada aksi keempat malam esok. - K! ONLINE