Pada saingan tersebut, ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek mencipta kejutan dengan merehatkan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, manakala meletakkan pemain remaja, Lee Zii Jia selaku perseorangan pertama.

Keputusan itu tidak membuahkan hasil apabila pemain kelahiran Kedah itu tewas 18-21, 9-21 kepada jaguh muda China, Shi Yuqi dalam tempoh 38 minit.

Pasangan beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong kembali menyamakan kedudukan selepas mudah menewaskan beregu dari Tembok Besar itu, He Jiting-Tan Qiang dengan keputusan 21-18, 21-12.

Namun, pasukan lawan berjaya meraih dua mata sete­rusnya daripada Qiao Bin yang menewaskan Soong Joo Ven, 21-17, 21-8 sebelum beregu kedua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut ditewaskan Han Cheng Kai-Zhou Haodong dengan keputusan 21-15, 21-13.

Mengulas kekalahan tersebut, Zii Jia mengakui agak kepenatan selepas meraih empat kemenangan berturut-turut dalam membantu skuad negara melangkah ke pentas separuh akhir sebelum ini.

“Perlawanan ini cukup sukar walaupun saya berjaya mendahului pada set pertama. Saya akui kecewa apabila gagal menghadiahkan mata buat pasukan tetapi saya pasti akan bekerja keras selepas ini.

“Banyak pengalaman yang saya raih termasuk mengawal perasaan dan tekanan. Saya pasti ia akan banyak membantu secara peribadi dalam persiapan ke saingan Piala Thomas nanti,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Meskipun tewas, skuad negara sudah mengesahkan kelayakan secara merit ke pentas Piala Thomas 2018 yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Mei depan.