Pada saingan tersebut, skuad badminton lelaki negara yang diketuai perseorangan pertama, Liew Daren mempamerkan aksi longlai apabila tewas 13-21, 14-21 kepada pemain rangking No. 4 dunia, Kento Momota.

Keadaan skuad negara bertambah sukar selepas ketinggalan 0-2 apabila beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut tewas dengan keputusan straight set kepada Takeshi Kamura-Keigo Sanoda dengan keputusan 18-21, 18-21.

Jepun kemudian mengesahkan slot ke pusingan seterusnya selepas perseorangan kedua negara, Lee Zii Jia ditundukkan oleh Kenta Nishimoto 18-21, 17-21.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Zii Jia me­ngakui keputusan ber­kenaan seperti sudah dijangka­ tetapi dia percaya kekalahan itu boleh mendorong motivasi­nya beraksi lebih baik bagi acara individu nanti.

“Saya kecewa tidak dapat membantu negara meraih mata tetapi saya sudah berusaha yang terbaik tetapi tidak berjaya.

“Saya akui pemain lawan beraksi lebih cemerlang. Ini adalah pe­ngalaman berguna buat saya kerana kali pertama bertemu de­ngan pemain yang berada di ranking lebih tinggi. Saya akan jadikan ia sebagai pengalaman berguna,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Sebagai rekod, Malaysia juga pernah dikecewakan oleh skuad Matahari Terbit itu pada Piala Thomas 2014 yang menyaksikan skuad negara muncul naib juara selepas tewas 2-3 di pentas final.

Kali terakhir pasukan negara mencatat kemenangan ke atas Jepun adalah pada Piala Thomas­ 2008 ketika Malaysia menang 3-0 pada peringkat suku akhir.

Sementara itu, Pre­siden Persa­tuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menuntut pasukan badminton negara melupakan kekecewaan selepas tewas kepada Jepun pada acara berpasukan.

Meskipun kecewa dengan keputusan tersebut, Norza berharap pasangan beregu lelaki dan beregu campuran negara terus berusaha mendapatkan pingat dalam acara individu nanti.

“Memang saya kecewa kerana mereka tewas mudah dan ini me­nunjukkan mereka gagal me­nyaingi Jepun, bagi saya kekalahan V Shem-Wee Kiong memang tidak boleh di­terima.

“Saya mahu mereka segera lupakan kegagalan ini dan bangkit dalam acara individu. Mereka perlu mening­katkan usaha pada tahap tertinggi untuk terus membantu menyumbang pingat kepada kontinjen negara,” katanya.