Kemenangan tersebut berjaya meruntuhkan ego Argentina selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 bahkan secara tidak langsung meleburkan rekod tanpa kalah gergasi No. 2 dunia itu pada kejohanan ini.

Para pemain Malaysian Tigers dan barisan kejurulatihan negara layak dipuji kerana berjaya mengekang setiap asakan bertali arus Argentina sepanjang perlawanan itu.

Menariknya, skuad negara yang merupakan pasukan ran­king tercorot pada kejohanan tersebut iaitu No. 12 dunia, terlebih dahulu mencipta kejutan apabila berjaya mendahului Argentina dengan dua gol pantas dalam tempoh lapan minit.

Dua gol bersejarah pasukan bimbingan Stephen Van Huizen itu diperoleh menerusi Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abd. Jalil dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan, masing-masing pada minit ke-20 serta 28.

Sementara gol tunggal Argentina diperoleh menerusi jaringan Diego Paz pada minit ke-32.

Salah satu kunci kejayaan skuad negara adalah berjaya menyekat bintang sensasi Argentina yang juga penjaring terbanyak kejohanan, Gonzalo Peillat untuk meledak gol daripada semua tujuh pukulan sudut penalti dilakukannya pada perlawanan tersebut.

Kegagalan Juan Gilardi menyempurnakan penalti stroke apabila percubaannya berjaya ditepis penjaga gol gantian, Muhammad Hafizuddin Othman antara salah satu faktor lain kemenangan Malaysian Tigers.

“Semua pemain bermain dengan bagus dan cemerlang. Saya tidak kisah hanya dua gol dija­ringkan dan kurang mendapat pukulan sudut penalti, asalkan kami menang sudah cukup bermakna,” kata Van Huizen.

Kali terakhir Malaysian Tigers menang ke atas skuad Los Leones itu pada Sukan Olimpik 1992 dengan kemenangan 5-4.