Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan perbincangan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) telah berada pada peringkat akhir serta menunjukkan perkembangan positif terhadap status kedua-dua pemain berkenaan.

"Saya difahamkan PSM akur dengan keputusan bayaran elaun yang ditetapkan MSN kerana sebelum ini kita dapat laporan PSM melakukan perubahan sendiri dari segi pemberian elaun.

"PSM kini akur dengan ketetapan dan pendirian dari MSN, dari segi status pemain pula kedua atlet tersebut akan dipanggil memberi penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib.

"Sebagai menteri saya tidak boleh paksa mereka tapi menasihati, selepas pertemuan yang diadakan, besar kemungkinan mereka akan kembali dalam skuad kebangsaan selepas Aidiladha nanti," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja beliau di Osaka, sebentar tadi.

Situasi berkenaan melihatkan skuad sepak takraw kebangsaan boleh menarik nafas lega terutamanya dalam persiapan menjelang temasya Sukan SEA 2019 di Filipina pada November depan ekoran masing-masing berjaya membuktikan kemampuan apabila meraih emas di Sukan SEA 2015 dan 2017 dalam acara regu.

Gandingan mereka bersama Farhan Adam dan Azlan Alias turut memastikan emas Malaysia di Sukan Asia 2018 sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun negara di temasya itu.

Terdahulu, Syahir dan Zulkifli digugurkan sebagai atlet negara dan dikeluarkan dari skuad sepak takraw kebangsaan serta digantung sementara daripada melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sukan berkenaan. - K! ONLINE