Mahrez yang merupakan bekas Pemain Terbaik Afrika pas­tinya menjadi sandaran pasukan tersebut yang memburu keputusan terbaik selepas kali terakhir menjulang trofi berkenaan pada 1990.

Pada perlawanan semalam, pemain Manchester City itu meledak satu gol, sementara satu gol lagi disumbangkan penyerang prolifik, Baghdad Bounedjah, sekali gus membolehkan pasukan itu berkongsi mata dengan Senegal.

Jurulatih Algeria, Djamel Belmadi mampu menarik nafas lega dengan keputusan tersebut kerana beliau menyifatkan bukan tugas mudah buat sesebuah pa­sukan untuk melakar kemena­ngan pada perlawanan pertama.

“Bagi saya, bukannya mudah untuk memulakan sesuatu kejohanan dengan kemenangan, lebih-lebih lagi pada saingan Afcon yang terdiri daripada pasukan-pasukan terbaik dunia. Saya gembira dengan tiga mata yang diperoleh hari ini (semalam).

“Kebiasaannya kami sering tewas ataupun seri pada perlawanan pertama, jadi kemenangan ini mampu menjadi mesej buat semua pemain bahawa kami berpeluang untuk mara ke peringkat seterusnya jika menampilkan aksi sama,” kata Belmadi.

Sementara itu, pengendali Kenya, Sebastien Migne menyua­rakan kekecewaannya selepas menyaksikan skuad kendaliannya seperti tidak berminat serta takut untuk bersaing dengan pemain-pemain Algeria. – Agensi