Sathianathan (gambar kecil) berkata, pemainnya bukan sengaja tidak mahu pergi kepada penyokong selepas tamat perlawanan tetapi mereka terlalu letih kerana bermain di atas permukaan padang basah selepas hujan lebat sebelum perlawanan bermula.

“Saya ada tanya mereka (pemain) kenapa tidak mahu pergi ke tempat duduk ultra Selangor (penyokong) selepas tamat perlawanan dan mereka kata terlalu letih bermain di atas padang basah dan tekanan yang diberikan. Jadi, saya selaku sebahagian daripada pasukan Selangor memohon maaf kepada peminat yang hadir.

“Lagi satu, ada peraturan ditetapkan oleh FAM yang perlu saya ikut iaitu selepas tamat perlawanan, sekiranya ada pihak yang mahu saya beri ulasan, saya kena ikut jika tidak saya akan didenda. Jadi saya mohon maaf kepada peminat dalam hal ini,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan ber­­kenaan.

Sementara itu, Sathianathan memuji anak-anak buah­nya yang beraksi begitu baik pada separuh masa pertama walaupun terpaksa bermain tanpa tonggak utama kerana ­kecede­raan.

Katanya, kombinasi pemain simpanan yang dimasukkan jelas menunjukkan Selangor mampu bermain tanpa pasukan utama.

“Kita tiada pasukan utama yang tetap, jadi pada perlawanan ini, saya menggunakan pemain simpanan tetapi mereka menunjukkan persefahaman baik.

“Saya juga memberitahu kepada mereka untuk melupakan kekalahan kepada Felda United tempoh hari dan tumpukan kepada aksi menentang PKNP FC dan ini keputusan yang kita dapat,” katanya.

Pada aksi itu, Selangor berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan PKNP FC 2-1 menerusi jaringan Sandro Da Silva dan Syahmi Safari manakala gol sagu hati PKNP FC dija­ringkan oleh Mohd. Fazrul Hazli Mohd. Kadri. – Bernama