Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu meluahkan keyakinan tersebut susulan sudah meledak dua gol ketika menumbangkan Australia 3-0 pada aksi peringkat Kumpulan B minggu lalu.

Pada masa sama, dia turut menyumbang satu gol ketika Malaysia membenam cabaran seteru tradisi, Indonesia 4-3 pada aksi separuh akhir kelmarin sebelum mara ke pentas final.

Luqman, 17, yang juga terpilih sebagai Kesebelasan Terbaik Piala Sanix 2019 mengakui tidak sabar untuk menyumbat lebih banyak gol bagi menjulang nama Malaysia di bumi Bandar Raya Ho Chi Minh malam ini.

“Apabila berjaya mara ke pentas final, sudah tentu saya bersama rakan-rakan sepasukan akan melakukan yang lebih baik berbanding pencapaian sebelum ini.

“Sasaran saya sebagai seorang penyerang pastinya ingin menjaringkan gol apabila berdepan Australia. Insya-Allah, saya mahu melakukan hatrik.

“Apa yang pasti, esok (malam ini) kami akan melakukan yang terbaik demi lencana di dada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Luqman turut mengharapkan doa daripada semua rakyat Malaysia mengiringi perjuangan skuad B-18 negara di Stadium Thong Nhat nanti.

“Para pemain sememangnya sudah tidak sabar menantikan pentas final dan semua warga pasukan ingin melakukan sehabis baik.

“Kami di sini (Vietnam) mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia untuk mengiringi perjuangan pasukan di pentas final esok,” kata Luqman.