Jelasnya, ia merupakan hasil perbincangan yang diadakan bersama wakil Cerezo dan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. semalam menyaksikan Luqman Hakim bakal diuji sebelum mengikat kontrak penyerang kelahiran Kelantan itu yang merupakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

"InsyaAllah, Luqman akan ditempatkan di Cerezo dan jika lihat prestasinya ia sama seperti penyerang Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak juga.

"Memang Jepun sudah nampak dari awal prestasinya yang sangat baik dan boleh menjalani latihan serta jadi penyumbang terbesar kepada negara tercinta pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja beliau di Osaka, Jepun sebentar tadi.

Cerezo yang pernah menjuarai Piala Liga Jepun dan Piala Emperor pada 2017 serta menamatkan saingan J-League 1 di tangga ketiga pada musim yang sama difahamkan terpikat dengan kemampuan Luqman Hakim selepas pemain berkenaan dipilih sebagai Kesebelasan Utama Terbaik pada kejohanan Piala Sanix 2019, Mac lalu.

Sementara itu, Syed Saddiq seterusnya menafikan berita atau spekulasi apabila Luqman Hakim dikatakan sedang diintai oleh kelab gergasi Itali, Juventus.

"Tak ada kedengaran mengenai hal itu. Mungkin ia hanya dari ejen saja namun tiada sebarang perbincangan," jelasnya.

Sebagai rekod, Luqman Hakim, 17, mula mendapat perhatian ketika membantu skuad B-13 NFDP melakar sejarah muncul juara Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol pada 2015 sementara turut tersenarai antara penjaring terbanyak kejohanan.

Perkara tersebut membuatkan dia terus meningkat naik selepas sentuhannya mendapat perhatian kelab-kelab luar terutamanya di Asia selepas meraih Anugerah Penjaring Terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018. - K! ONLINE