Mungkin buat kali pertama dalam sejarahnya, empat pasukan tempatan bersama-sama 18 pasukan dari luar negara akan bersaing antara satu sama lain bagi merebut empat jersi utama yang ditawarkan dengan jumlah wang kemenangan hampir mencecah RM1 juta.

Kehadiran empat pasukan tersebut iaitu pasukan kebangsaan Malaysia, Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sa­pura Cycling (TSC) serta Forca Amskins Racing (FAR) mungkin akan menghadirkan satu keputusan lebih positif pada perlumbaan yang memasuki edisi ke-23 itu.

Sejak perlumbaan diperkenalkan pada 1996, hanya seorang pelumba negara iaitu Anuar Manan pernah dinobatkan sebagai raja pecut iaitu pada edisi 2010.

Sekiranya empat pasukan tempatan bergabung tenaga, Malaysia boleh melihat detik bersejarah menyaksikan pelumba negara menaiki podium atau merangkul jersi utama.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab (gambar kecil) menegaskan, keempat-empat pasukan itu perlu berganding bahu untuk menaikkan nama Malaysia pada LTdL 2018.

“Sekiranya pelumba tempatan berjaya meraih kedudukan podium atau menempatkan diri dalam kelompok terbaik, mata yang diraih itu secara tidak langsung menjadi milik Malaysia.

“LTdL memperuntukkan mata yang tinggi. Ia secara tidak langsung membantu kita meraih mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di 
Tokyo, Jepun.

“Selain kerjasama, persiapan rapi juga perlu dilakukan oleh kesemua pelumba bagi memastikan kita dapat memberi saingan kompetitif dalam kalangan pelumba yang bertanding,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, ketua pasukan TSG, Mohd. Zamri Salleh menjelaskan, pihaknya tidak berdepan sebarang masalah untuk bekerjasama dengan tiga lagi pasukan berkenaan asalkan ia dapat memberi manfaat kepada keempat-empat pasukan.

Sebagai rekod, LTdL kali ini akan bermula dari Kangar ke Kulim dengan jarak 147.9 kilometer (km) diikuti laluan Gerik- Kota Bharu (208.3km), Kota Bharu-Kuala Terengganu (166.0km), Dungun-Pekan (177.6km), Bentong-Ca­meron Highlands sejauh 169.4km dengan pendakian berstatus Hors di Tanah Rata, Tapah-Tanjung Malim (108.5km), Nilai-Muar (222.4km) dan tamat di Dataran Merdeka menerusi laluan Rembau-Kuala Lumpur (141.1km).

LTdL kali ini turut memperlihatkan kembalinya pelumba yang digelar Mr. Langkawi, Andrea Guardini yang mewakili pasukan Bardiani CSF dari Itali.

Pelumba berusia 28 tahun itu merupakan pemenang peringkat perlumbaan paling banyak dalam sejarah LTdL iaitu dengan 22 kemenangan bermula 2011 dengan lima kemenangan, enam (2012), satu (2013), dua (2014) dan empat masing-masing pada edisi 2015 dan 2016.