Lebih menarik, perlumbaan yang me­ma­suki edisi ke-23 tersebut juga mem­perkenalkan beberapa venue baharu perlumbaan seperti Kuala Ketil, Kedah, Raub (Pahang) serta Batu Gajah (Perak) selain memberi ruang acara pengenalan pasukan kembali ke Pulau Langkawi, Kedah selepas kali terakhir pada edisi 2015.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jama­luddin Abu Bakar berkata, pihaknya de­ngan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sekali lagi melantik syarikat Ciclista Sports Sdn. Bhd. sebagai pengurus acara buat kali ke­tiga berturut-turut menerusi geran seba­nyak RM12 juta.

Walaupun ada penambahan sebanyak RM1 juta berbanding geran diberikan pada tahun lalu, ianya masih belum mencukupi untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai laluan perlumbaan disebabkan kos logistik yang terlalu tinggi.

“Sebab kita tidak menjadikan Pulau Langkawi sebagai laluan perlumbaan ialah kos logistik yang tinggi. Dalam usaha untuk mengurangkan kos, kita telah membuat keputusan untuk memulakan perlumbaan di tanah besar.

“Pada edisi sebelum ini, kita tidak pernah menggunakan Pulau Langkawi sebagai tempat untuk memperkenalkan pasukan. Justeru, bagi menghormati Pulau Lang­kawi yang merupakan sejarah dalam LTdL, sekurang-kurangnya kita menjadikan venue tersebut sebagai tempat untuk pengenalan pasukan.

“Suatu hari nanti apabila kita dapat le­bih banyak tajaan serta dana lebih ba­nyak, mungkin kita akan mulakan perlumbaan di Langkawi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Imej dan Pengumuman laluan LTdL 2018 di Putrajaya semalam.

Khairy turut menjelaskan, pihaknya ber­usaha untuk memasukkan zon pendakian berstatus Hors Class di Genting Highland dalam peta LTdL, namun perkara tersebut gagal direalisasikan pada tahun ini.

“Genting tidak boleh digunakan. Ada se­dikit sekatan yang dikenakan oleh pihak Genting, mungkin kerana mereka tidak mahu laluan itu diganggu. Walaupun sa­ya telah meminta penganjur membuat rundingan dengan Genting, tetapi mereka masih bertegas.

“Sayanglah, kerana tahun ini kalau boleh kita nak laluan Genting Higlands ditambah semula, tetapi gagal,” tambahnya.

Sebagai rekod, perlumbaan berstatus 2.HC (Hors Class) bakal menyajikan ca­ba­ran sejauh 1,537.2 kilometer (km) secara keseluruhan.

Peringkat pertama perlumbaan akan bermula dari Kangar hingga Kuala Ketil sejauh 117km, diikuti laluan Gerik-Kota Bharu (207km), Kota Bharu-Kuala Terengganu (166km), Dungun-Pekan (177.6km) dan pendakian mencabar dari Raub ke Cameron Highlands melalui Batu Malim, Kampung Ceroh, Lembah Bertam dan Ringlet sejauh 140.4km.

Perlumbaan akan diteruskan dari Batu Gajah ke Taiping (119km), Tapah-Kapar (157.1km), laluan paling pendek, Putrajaya-Rembau (106.8km), peringkat paling jauh, Port Dickson-Batu Pahat (218.9km) dan peringkat terakhir dari Se­na­wang yang dijangka tamat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (134.4km).