Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab mendedahkan, pihaknya telah menerima lebih 30 permohonan daripada pasukan luar negara selepas LTdL kekal menjadi perlumbaan terbesar Asia di bawah kalendar Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) tahun ini.

“Daripada 30 permohonan tersebut, kebanyakannya datang daripada pasukan benua di seluruh Asia seperti Korea Selatan, Indonesia dan Jepun.

“Bagaimanapun pada perlumbaan ini, PKBM hanya menjalankan tugas untuk menguruskan perkara yang berkaitan dengan bidang teknikal dan kami telah menyerahkan keputusan untuk memilih pasukan tersebut kepada pengurus acara, Ciclista Sports Sdn. Bhd.

“Melihat perkembangan ini, saya yakin penambahan pering­kat perlumbaan merupakan tarikan utama kepada pasukan-pasukan dari luar negara kerana mereka mempunyai 10 peluang untuk mengumpul mata bagi melayakkan diri ke pentas ­Olimpik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Kali terakhir LTdL menyaji­kan cabaran 10 peringkat perlumbaan adalah pada edisi 2014 sebelum diturunkan kepada lapan peringkat bermula pada 2015 hingga 2017.

Perlumbaan berstatus 2.HC (Hors Class) itu bakal menyajikan ca­ba­ran sejauh 1,537.2 kilometer (km) secara keseluruhan.

Peringkat pertama perlumbaan akan bermula dari Kangar hingga Kuala Ketil sejauh 117km, diikuti laluan Gerik-Kota Bharu (207km), Kota Bharu-Kuala Terengganu (166km), Dungun-Pekan (177.6km) dan pendakian mencabar dari Raub ke Came­ron Highlands melalui Batu Malim, Kampung Ceroh, Lembah Bertam dan Ringlet sejauh 140.4km.

Perlumbaan akan diteruskan dari Batu Gajah ke Taiping (119km), Tapah-Kapar (157.1km), laluan paling pendek, Putrajaya-Rembau (106.8km), peringkat paling jauh, Port Dickson-Batu Pahat (218.9km) dan peringkat terakhir dari Se­na­wang yang dijangka tamat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (134.4km).

Mengulas lanjut, Abu Samah berharap, pasukan berbasikal kebangsaan Malaysia bersama tiga lagi skuad benua tempatan iaitu Terengganu Cycling Team, Team Sapura Cycling serta Forca Amskins Racing perlu menggunakan kesempatan di LTdL bagi mencari mata untuk layak ke pentas Olimpik,” katanya.