Pelumba Sepanyol tersebut menyertai pasukan Repsol Honda selepas dua tahun berdepan tugas berat ketika bersama pasukan Ducati, namun penampilannya pada awal musim ini tidak begitu baik selepas mengalami kecederaan tangan dan tulang rusuk.

Kini, Lorenzo bertekad untuk melakukan yang terbaik pada perlumbaan di Litar The Americas (COTA) nanti selain pelumba berusia 31 tahun itu juga hanya dua kali menaiki podium iaitu pada musim 2013 dan 2016 di litar berkenaan.

“Setelah gagal memperoleh catatan yang terbaik di Argentina saya kembali berusaha untuk mendapatkan hasil yang cukup positif di AS. Selepas dua pusingan perlumbaan, saya semakin memahami karakter jentera dan tidak sabar untuk turun menguji jentera.

“Kini kami semakin mendapat pelarasan yang sempurna pada jentera dan saya harap mampu menemui rentak terbaik bersama Honda kerana bukan mudah untuk mendapatkan keserasian dengan begitu cepat memandang­kan keadaan fizikal saya baru sahaja pulih,” kata Lorenzo.

Lorenzo yakin mampu mengulangi pencapaian terbaiknya sewaktu menaiki podium pada 2013 dan 2016 yang ketika itu bersama pasukan Yamaha.

“COTA merupakan salah satu daripada litar kesukaan saya dan lebih sesuai dengan gaya tunggangan saya. Meskipun litar ini antara yang mencabar dan memerlukan kemahiran teknikal tinggi saya yakin mampu untuk menawan Litar The Americas di sini sekali lagi.

“Perkara utama yang saya perlu lakukan adalah mendapatkan keserasian terbaik ketika sesi latihan pertama dan kemudian be­kerja keras pada sesi kelayakan. Jika saya mampu memulakan perlumbaan di petak hadapan, tidak mustahil mampu kembali memberi ten­ta­ngan semula,” ujar­nya.

Rakan sepasukannya, Marc Marquez yang melakukan ke­jutan pada per­lumbaan di Ar­gentina dikatakan bakal menjulang kemenangan di AS sekali lagi berikutan aksi cemerlangnya selepas meraih kemenangan keenam berturut-turut di Litar The Americas. 
– Agensi