Lebih manis, Lorenzo berjaya mencipta catatan masa terpantas baharu untuk litar tersebut yang mana rekod tersebut juga merupakan miliknya ketika melakukannya pada 2016.

Juara tiga kali MotoGP itu memecut laju pada pusingan pertama untuk merekodkan catatan terpantas 1 minit 31.629 saat sekali gus membolehkannya meraih petak pertama buat kali kedua berturut-turut selepas melakukannya di GP British sebelum ini.

“Sebulan lalu, dalam sesi percubaan saya lakukan catatan 1:31.9s. Sukar sebenarnya untuk merekodkan catatan yang lebih pantas berbanding apa yang telah saya lakukan sebelum ini.

“Bagaimanapun, pada sesi kelayakan kali ini, para pelumba berjaya mendapatkan catatan yang lebih baik termasuk saya. Mungkin kerana faktor penggunaan brek di selekoh ataupun kepantasan jentera itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, nasib berbeza buat juara dunia bertahan, Marc Marquez yang terpaksa akur untuk memulakan perlumbaan di petak kelima selepas terjatuh di selekoh ke-15 ketika tempoh kelayakan berbaki dua minit.

Marquez hampir mencabar rekod ber­usia dua tahun milik Lorenzo tersebut apabila mencatatkan 1:32.016s pada percubaan pertamanya, namun Lorenzo terus memecut laju untuk menidakkan hajat Marquez tersebut.

Keinginan Marquez untuk menggunakan strategi dua hentian pit bagi memperbaiki catatannya telah membawa padah apabila dia gagal memperbaiki kedudukan sekali gus kedudukannya berjaya dipintas pelumba Pramac Ducati, Jack Miller yang meraih tempat kedua sementara pelumba Movistar Yamaha, Maverick Vinales meraih petak ketiga.

Dalam pada itu, jaguh MotoGP Itali, Valentino Rossi gagal melunaskan impiannya untuk memulakan perlumbaan di petak pertama di halaman sendiri apabila terpaksa berpuas hati dengan catatan masa ketujuh terpantas pada sesi ber­kenaan. – Agensi