Pengendali dari Argentina berusia 66 tahun itu, yang mengambil alih pasukan tersebut selepas kepulangan jurulatih Portugis, Ulisses Morais pada Februari lepas, mendedahkan, Tunku Ismail yang juga Tengku Mahkota Johor telah menghubungi beliau untuk menggantikan Morais.

"Saya sentiasa memberi sokongan kepada pemain kerana saya percayakan mereka. Apa yang penting mereka memberi yang terbaik dan menunjukkan peningkatan prestasi dalam permainan mereka," kata Longhi seperti dipetik dalam catatan terbaharu di Facebook rasmi JDT; Johor Southern Tigers.

"Saya juga menaruh keyakinan yang tinggi terhadap pemain muda JDT. Mereka adalah pemain untuk masa depan JDT kerana mereka mempunyai mentaliti terbaik," kata Longhi. 

JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super bagi musim kelima berturut-turut sejak 2014 selepas menewaskan saingan terdekat, Perak 2-1 di Stadium Perak, malam tadi. 

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengumpulkan 47 mata dan mendahului 16 mata daripada Perak yang kekal di tangga kedua kedudukan Liga Super, dengan empat baki perlawanan.

Keputusan itu juga melayakkan JDT memperoleh kemasukan terus ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2019.

Mengenai perlawanan menentang Perak, Longhi berkata skuad Harimau Selatan terpaksa berhempas pulas sebelum pemainnya menemui rentak permainan di pertengahan babak kedua untuk memenangi perlawanan itu.

"Pada babak pertama, kami mempunyai antara tiga dan empat peluang untuk menjaringkan gol tetapi nasib tidak menyebelahi kami. Bagaimanapun pemain bermain dengan baik pada babak kedua dan menjaringkakan dua gol. Saya sangat gembira dengan semua pemain," katanya. - Bernama