Jelas pemain antarabangsa Belanda itu, mereka akan turun ke Parc des Princes dalam keadaan bersedia dan tanpa sebarang tekanan meskipun ia adalah perlawanan wajib menang bagi memastikan skuad The Reds mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

“Saya tidak berasa takut dengan kekuatan mereka. Kami menghormati PSG tetapi kami perlu menang. Liverpool juga adalah salah satu pasukan terbaik di Eropah dan kami mahu me-ngulangi pencapaian mara ke final sama seperti musim lalu.

“Walaupun ia adalah misi sukar, kami perlu percaya dengan kekuatan sendiri. Justeru, kami perlu cuba sedaya upaya untuk menewaskan mereka,” katanya.

Sebagai rekod, Liverpool yang menghuni Kumpulan C berada di kedudukan kedua dengan enam mata, manakala PSG di kedudukan ketiga menerusi lima mata.

Kekalahan 2-0 kepada FK Crvena Zvezda telah memberi tekanan kepada skuad bimbingan Jurgen Klopp itu untuk merangkul dua kemenangan pada baki saingan peringkat kumpulan.

“Masih ada beberapa perkara yang perlu kami tingkatkan dan kami tidak boleh berada terlalu kecewa dengan situasi yang berlaku sekarang. Harap-harap segala yang kami rancang akan berjalan dengan baik pada perlawanan ini,” katanya. – Agensi