Sebagai persiapan mengukuhkan barisan pemainnya, The Reds dikatakan bertekad untuk membawa masuk pemain sayap Switzerland, Xherdan Shaqiri yang kini beraksi bersama Stoke City.

Difahamkan, Jurgen Klopp juga dikatakan telah meminta pihak pengurusan kelab untuk membayar klausa perpindahan bernilai kira-kira £13juta (RM69juta) untuk mendapatkan pemain sayap berusia 26 tahun itu.

Peluang Liverpool untuk mendapatkan Shaqiri dilihat mudah apabila sebelum ini pemain itu mendedahkan ingin meninggalkan Stoke City selepas pasukan tersebut tersingkir daripada saingan EPL apabila menduduki tempat ke-19 sekali gus jatuh ke Liga Kejuaraan England pada musim 2018/19.

Shaqiri mempersembahkan aksi cemerlang dalam saingan Piala Dunia Rusia apabila meledak satu gol ketika bertemu Serbia bagaimanapun impian mereka untuk ke suku akhir tidak kesampaian apabila tewas kepada Sweden di peringkat 16 pasukan terbaik.

Sebelum ini, Shaqiri menyertai Stoke dari Inter Milan pada Ogos 2015 dengan nilai perpindahan mencecah £12 juta (RM64 juta).

Sepanjang beraksi bersama skuad The Potters, Shaqiri telah meledak 15 gol daripada 92 perlawanan.

Liverpool juga telah mem­belanjakan £208juta (RM1.1 bilion) untuk mendapatkan pemain tengah Monaco, Fabinho dan berjaya membawa masuk seorang lagi pemain tengah, Naby Keita dari pasukan RB Leipzig.

Selain Shaqiri, Liverpool juga dikatakan sedia membawa masuk beberapa nama lain seperti penyerang Croatia, Marko Pjaca dan penjaga gol Brazil, Alisson Becker. – Agensi