Ketika beraksi di Anfield kelmarin, The Reds kembali memungut tiga mata penuh selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth hasil jaringan Sadio Mane, Georginio Wijnaldum dan Mohamed Salah.

Keputusan tersebut menyaksikan Liverpool kembali merampas kedudukan Manchester City apabila sebelum ini mereka seri dalam dua perlawanan sekali gus memberikan kelebihan kepada The Citizens memintas dengan kelebihan jari­ngan.

“Kami masih tidak berpuas hati dengan diri sendiri meskipun telah mencatatkan kemenangan kali ini.

“Memang jelas keputusan seri dalam dua aksi sebelum ini telah memberikan kesan kepada pemain meskipun kami mempunyai alasan di sebalik keputusan tersebut.

“Saya tidak boleh bercakap lebih tentang perkara ini kerana ia kelihatan seperti kami cuba memberikan alasan biarpun hakikatnya tidak.

“Saya bercakap tentang perkara yang betul dan tahu situasi semasa pasukan sekarang. Perkara tersebut menyebabkan kami kurang senang dengan dua atau tiga aksi sebelum ini.

“Pemain boleh menang atau seri dengan sebab yang berbeza, namun kami tidak mahu laluinya de­ngan cara begitu kerana mahu tampil dengan penuh yakin.

“Pemain menunjukkan persembahan yang luar biasa dan ini yang kami mahukan dalam setiap perlawanan,” kata Klopp. – Agensi