Bagaimanapun, dia yang bergandingan bersama Chan Peng Soon mengakui mereka berdepan tugas sukar apabila dijadualkan bertemu gandingan Korea Selatan, Seo Sung Jae-Chae YuJung seawal pusingan pertama.

Kata Liu Ying, Sung Jae-YuJung merupakan pasangan yang meleburkan hasrat mereka untuk menjuarai Terbuka Australia apabila tewas 12-21, 21-23, sekali gus kempunan meraih gelaran kedua bagi saingan musim ini.

“Saya sudah tengok undian bagi kejohanan Terbuka Amerika Syarikat dan ia bukanlah satu perkara mudah untuk kami. Seawal pusingan pertama, kami sudah diundi bertemu lawan yang pernah tewaskan kami pada final Terbuka Australia.

“Memandangkan pernah berjumpa mereka sebelum ini, sudah tentu kami sedar ia akan menjadi satu aksi sukar bagi mengesahkan tempat ke pusingan kedua. Bagaimanapun, kami sedia memperagakan prestasi terbaik,” kata Liu Ying ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pada masa sama, pemain kelahiran Melaka yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Brazil menegaskan, mereka enggan meletakkan sebarang sasaran spesifik, sebaliknya lebih selesa untuk fokus terhadap satu demi satu perlawanan.

“Seperti biasa, kami tidak mahu beri tekanan pada diri sendiri dengan terlalu memikirkan me­ngenai sasaran. Kami akan fokus satu demi satu perlawanan dan berharap mampu melangkah jauh kali ini,” tambahnya.

Sebagai rekod, Peng Soon-Liu Ying hanya meraih satu gelaran pada tahun ini apabila menjuarai kejohanan Thailand Masters selepas menewaskan beregu tuan rumah, Dechapol Puavanukroh-Puttita Supajirakul pada perlawanan akhir.

Justeru, Terbuka AS merupakan peluang terbaik gandingan No.31 dunia itu memenangi gelaran kedua sejak kembali digandingkan Disember lalu selepas Liu Ying berehat lebih enam bulan gara-gara menjalani pembedahan bahu.