Khabar angin itu mula meniti di bibir penyokong skuad Tok Gajah apabila Liridon memuat naik gambar seekor gajah di Instagram miliknya.

Gambar tersebut menjadi tular di media sosial sejak kelmarin malah beberapa laman sukan tanah air turut memberi gambaran Liridon akan bersama skuad Tok Gajah musim ini.

Para penyokong Tok Gajah sudah tidak sabar menunggu khabar gembira itu daripada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Bagaimanapun, kelibat Liridon tidak kelihatan pada perlawanan pertama pra musim antarabangsa di Bangkok, Thailand ketika berdepan Visakha FC semalam.

Menurut sumber, Pahang memang berhasrat untuk mendapatkan khidmat Liridon bagi mengisi kouta pemain import.

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada pihak PBNP.

Liridon yang tidak menyambung kontrak bersama Kedah dikhabarkan akan menyarung jersi pasukan yang bermain dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini namun belum ada pengumuman rasmi.

Pemain tengah kelahiran Kosovo itu telah mencipta nama dalam Liga M setelah bersama Kedah selama empat musim sejak 2015. - K! ONLINE