Menurut Norza, setiap pemain yang ada ketika ini sebenarnya sudah pun layak untuk menjadi pengganti Chong Wei, namun dengan syarat prestasi mereka sentiasa berkembang serta boleh memikul tanggungjawab negara pada perlawanan antarabangsa.

“Walaupun atlet itu berumur 25 atau pun 21 tahun, kita tetap akan membantu mereka. Jika mahu dilihat pada persembahan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, saya fikir perkemba­ngannya lebih pantas berbanding Chong Wei ketika berumur 21 tahun.

“Kita akan bantu Zii Jia supaya boleh ke depan lagi. Malah saya juga turut tekankan supaya kita memberi ruang dan peluang yang sama kepada dua lagi pemain muda seperti Cheam June Wei dan Soong Joo Ven. Tetapi, ada tempoh masa yang ditetapkan kepada mereka untuk dicapai.

“Kita sudah lama berusaha mencari pengganti Chong Wei dan sebab itu kita terus memberi pendedahan kepada pemain muda untuk beraksi pada kejohanan yang besar. Tidak bermakna pemain yang tertinggal di belakang tidak boleh mengejar pemain yang berada di hadapan mereka.

“Chong Wei pernah berkata, setiap pemain perlu menjadi diri sendiri. Satu ketika dahulu, Chong Wei berusaha sendiri dan terpaksa melakukan latihan tanpa fasiliti bertaraf dunia seperti yang kita sediakan pada hari ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-189 serta Perhimpunan Agung Tahunan MOM kali ke-38 di Wisma MOM Kuala Lumpur semalam.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui segala kemudahan telah diberikan kepada para pemain negara dan mereka seharusnya menggunakan ke­sempatan itu untuk membentuk nilai jati diri berkelas dunia supaya bersedia menjadi pengganti Chong Wei.

“Saya percaya daripada tempoh 10 hingga 15 tahun yang dianggarkan itu, kita boleh mempercepatkan lagi kepada lima tahun,” jelasnya.

Kelmarin, ketua jrulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek berkata, Malaysia mungkin memerlukan masa selama 10 hingga 15 tahun untuk mencari pemain luar biasa se­perti Chong Wei.

Ujarnya, kem badminton Malaysia sudah bernasib baik jika mampu menggilap pemain setaraf Rashid Sidek dan Wong Choong Hann yang boleh me­rangkul gelaran utama pada kejohanan badminton secara konsisten.

Selepas Chong Wei mengumumkan persaraan, tanggungjawab selaku pemain perseorangan lelaki negara kini digalas oleh Zii Jia yang menghuni ran­king No. 20 dunia diikuti Joo Ven (64) dan June Wei (83).

Dalam pada itu, Norza memberitahu bahawa semua badan-badan sukan yang bernaung di bawah MOM telah bersetuju untuk menjadikan Chong Wei sebagai Chef de Mission (CDM) Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.