Herold Goulun, Mohd Faisal Rosli dan Muhamadou Sumareh akan kembali beraksi setelah digantung satu perlawanan Jumaat lalu.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kehadiran ketiga-tiga pemain itu mampu melonjakkan prestasi Tok Gajah selepas gagal meraih tiga mata berdepan Kedah baru-baru ini.

“Kita hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Kedah mengakibatkan pasukan lain terus mengejar kedudukan kami di tangga kedua liga.

“Kini kami hanya dipisahkan dua mata sahaja dengan pasukan Selangor dan kita perlu menang menentang PKNP FC untuk menjarakkan kedudukan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Beliau memberitahu, gandingan penyerang import, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kiambi perlu lebih mantap untuk merobek gawang lawan.

“Sentuhan berbisa mereka amat ditagih sebagai jentera serangan untuk kami mencipta kemenangan di laman sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, Tok Gajah tidak boleh memandang mudah kemampuan PKNP FC kerana corak permainan mereka sukar diramal.

“Mereka mampu mengikat Johor Darul Takzim (JDT) 1-1 baru-baru ini jadi kita perlu berhati-hati agar tidak dimalukan oleh pelawat,” jelasnya.

Tambahnya, beliau yakin pasukannya akan beraksi lebih baik berbanding sebelum ini dalam usaha mengekalkan kedudukan di tangga kedua liga setelah gagal mencabar JDT yang semakin jauh di puncak liga. - K! ONLINE