Penolong Ketua Jurulatih TFC I, Mohamad Nik berkata, anak buahnya terus mempamerkan prestasi konsisten pada pertemuan 'derbi Pantai Timur' terbabit sekali gus berjaya menghampakan hasrat skuad Tok Gajah untuk sah bergelar naib juara Liga Super lebih awal.

"Walaupun Pahang memberi tentangan hebat, anak buah saya telah mempamerkan momentum bertenaga sepanjang aksi 90 minit malam ini (tadi).

"Jika tidak kerana kesilapan kecil benteng pertahanan lambat mengawal pergerakan (penyerang Pahang) Mohamadou Sumareh pada minit ke-50, kemenangan sudah pasti milik kita," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Skuad Penyu mendahului menerusi rembatan padu pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-42 sebelum Sumareh yang juga pemain naturalisasi Harimau Malaya menyelamatkan maruah Pahang pada babak kedua.

Mohamad berkata, secara keseluruhannya, beliau masih berpuas hati dengan persembahan barisan pertahanan TFC I dibarisi pemain tempatan yang telah banyak mempamerkan peningkatan. - K! ONLINE