Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada 15 minit pertama apabila masing-masing mencari rentak untuk mengasak ke kubu lawan.

Pelawat hampir mendahului pada minit ke-16 apabila hantaran lambung Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri sedikit tersasar di bahagian kanan pintu gol biarpun berjaya memperdaya penjaga gawang tuan rumah, Norazlan Razali.

Penyerang import Felda United, Jocinei Schad berpeluang meletakkan tuan rumah di hadapan empat minit kemudian namun rembatan kencangnya dari luar kotak penalti ditangkap kemas oleh penjaga gol pelawat, Amar Asyraaf Omar.

Pelawat berjaya menembusi gawang tuan rumah namun gol jaringan Yashir Armando dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Fitri Maskon kerana offside. 

Kealpaan pertahanan tuan rumah akhirnya membawa padah apabila penyerang import PKNP FC, Thomas Abbey menanduk masuk sepakan percuma yang diambil oleh Muhamamad Fadhil Idris pada minit ke-35.

Skuad kendalian Abu Bakar Fadzim berpeluang menambah jaringan pada minit ke-63 menerusi Yashir namun tendangannya terkena tiang gol. 

Tuan rumah menggandakan asakan ke kubu pelawat dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi ketua pasukannya, Mohd Hadin Azman apabila sepakan percumanya terkena benteng pelawat sebelum menerjah jaring.  

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada 10 minit terakhir namun tiada tambahan jaringan dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan. - K! ONLINE