Tuan rumah membuka tirai jaringan pertama menerusi Thiago Aquino selepas menanduk masuk hantaran Muhamad Anwar Ibrahim seawal minit keempat.

Jaringan tersebut bagaimanapun tidak kekal lama apabila pelawat menyamakan kedudukan menerusi Kpah Sherman pada minit ke-15.

Beraksi di laman sendiri ternyata memberi kelebihan kepada Felda United apabila mereka sekali lagi berada di hadapan selepas ketua pasukannya, Mohd Hadin Azman meledakkan gol kedua. 

Pelawat sekali lagi berpeluang menyamakan kedudukan namun Gabriel Guerra gagal menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung separuh masa pertama. 

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan dan Muhammad Faiz Mazlan tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-48.

Penyerang import tuan rumah, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal menambah derita pelawat tiga minit kemudian apabila sepakan guntingnya gagal diselamatkan penjaga gol, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin untuk kedudukan 4-1.

Khairul Amri terus tampil dengan aksi bertenaga apabila sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring dengan meledakkan gol kelima pada minit ke-55.

Keghairahan tuan rumah memburu gol bagaimanapun dihukum pelawat apabila pemain gantian, Tamirlan Kozubaev menjaringkan gol kedua lima minit kemudian. 

Kelapaan tuan rumah sekali lagi mengundang padah apabila mereka membenarkan pelawat menjaringkan gol ketiga menerusi Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew pada minit ke-72.

Anak buah Datuk K. Rajagobal ternyata enggan mengalah apabila mereka berjaya mendapatkan gol keempat hasil jaringan Rodney Akwensivie pada minit ke-81 untuk mengubah kedudukan menjadi 4-5.

Kelebihan satu gol kekal milik Felda United untuk mengutip tiga mata berharga menewaskan PKNS FC 5-4. - K! ONLINE