Felda United menamatkan saingan liga di tangga ke-10 dengan hanya empat kemenangan manakala tujuh keputusan seri dan tewas 11 kali.

Mohd Nidzam berkata, beliau bukan sahaja mampu menarik nafas lega bahkan boleh tidur lena buat seketika setelah misi kekal dalam saingan Liga Super tercapai.

"Lebih tiga bulan saya tidak boleh tidur lena kerana memikirkan nasib Felda United yang berada di kelompok bawahan liga.

"Pihak pengurusan telah meletakkan misi utama untuk kekal dalam saingan Liga Super sebaik saya mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih dan saya perlu berusaha untuk mencapai sasaran itu," katanya kepada Kosmo!.

Menurut beliau, pasukannya berdepan pelbagai cabaran sebaik melangkah ke Liga Super setelah muncul juara Liga Perdana musim lalu.

"Kita gembira berjaya kembali ke Liga Super namun terpaksa beraksi dengan kudrat pemain baharu apabila ramai pemain senior berhijrah," ujarnya.

Mohd Nidzam memberitahu, semua pemain telah berusaha bersungguh-sungguh agar pasukan kami tidak kembali ke Liga Perdana musim ini.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kerjasama dan berusaha dengan keras untuk mencapai misi," jelasnya.

Sementara itu, beliau masih belum meletakkan sebarang sasaran untuk saingan Piala Malaysia apabila pasukannya diundi dalam Kumpulan D bersama Selangor, Melaka United dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM FC).

"Ketiga-tiga pasukan ini mempunyai kekuatan masing-masing dan corak permainan dalam liga tidak sama dengan saingan merebut piala jadi kita akan buat yang terbaik nanti," ujarnya. - K! ONLINE