Kedudukan pelapis baharu sering menjadi persoalan apabila khidmat mereka rata-rata hanya terhad kepada liga bawahan dan peluang atau platform terbaik sentiasa dikhususkan kepada pe­ngendali luar untuk memimpin pasukan utama.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan memberitahu, Malaysia mempunyai bakat-bakat muda, namun mereka masih belum mempunyai pengalaman luas untuk diketengahkan ke peringkat atasan.

“Bagi membangunkan jurulatih muda, kita mesti mempunyai pengalaman yang sangat luas ter­utamanya pada liga bawahan dan pernah menjadi pembantu jurulatih untuk tempoh yang panjang. Saya sendiri telah menjadi pembantu jurulatih selama 16 tahun sebelum boleh berada pada tahap sekarang.

“Kita tidak boleh terus tangkap muat sahaja mana-mana jurulatih yang ada kerana kita tidak mahu perjalanan mereka terhenti di pertengahan jalan.

“Kita tidak mahu mereka yang kurang berpe­ngalaman terus pergi ke skuad utama dan sekiranya gagal, mereka merasakan kerjaya terhenti begitu sahaja.

“Sebaliknya jurulatih muda perlu lalui banyak pengalaman terlebih dahulu seperti mengendalikan pasukan bawah 18 tahun (B-18) atau B-20 sebelum pergi ke skuad utama.

“Pastinya kita tidak mahu perjalanan kerjaya mereka terbantut di pertengahan jalan disebabkan kegagalan tersebut, sebaliknya mereka perlu membantu diri sendiri supaya lebih serius dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sistem kejurulatihan Itali

Tidak mustahil bakat-bakat muda di negara ini boleh terus digilap untuk menjadi pelapis baharu sebagai jurulatih pada suatu hari nanti se­perti di Itali.

Persatuan Bola Sepak Itali sentiasa menyediakan platform terbaik kepada individu yang benar-benar ingin memajukan diri mereka menjadi jurulatih terkenal.

Setiap tahun, jurulatih-jurulatih peringkat bawahan di Itali akan berkumpul di Coverciano, Florence pada Jun untuk menamatkan sijil kejurulatihan mereka dan ia dianggap sebagai fasa terakhir dalam proses pembelajaran sebelum melangkah ke peringkat seterusnya yang lebih serius.

Sebelum menamatkan pengajian kejurulatihan, mereka perlu menulis satu tesis mengenai falsafah bola sepak iaitu idea yang relevan seiring dengan pembangunan bola sepak semasa.

Hasilnya tidak boleh dinafikan apabila kejayaan Claudio Ranieri yang juga bekas penuntut di Coverciano berjaya membuat kejutan selepas membantu Leicester City menjuarai Liga Perdana England (EPL) pada musim 2015/16.

Pada Musim 2016/17, bekas graduan Coverciano turut menjuarai EPL menerusi Antonio Conte, manakala Carlo Ancelotti pula menawan Bundesliga, Massimiliano Allegri memastikan Serie A kekal milik Juventus.

Maurizio Sarri pula diberikan kepercayaan untuk memimpin Chelsea.

Sathianathan yang juga jurulatih juara Liga Premier musim ini, Felda United mengakui pengendali muda sedia ada perlu didedahkan kepada pasukan-pasukan di luar negara termasuk Jepun, Korea Selatan dan Eropah supaya mereka dapat menterjemahkan cara terbaik membawa pasukan tempatan.

“Di Itali, mereka mempunyai 150,000 tenaga jurulatih bagus dan ia adalah hasil daripada pembangunan jurulatih yang sangat baik.

“Kami dalam persatuan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia membantu pelapis baharu untuk dibangunkan supaya kita dapat lihat muka anak-anak tempatan mengambil alih tugas pasukan utama kelak.

“Kami masih dalam perbincangan dengan FAM untuk mendapatkan penajaan dan mungkin kami akan mencari dana bagi membawa jurulatih muda ke luar negara untuk menimba ilmu di sana.

“Ada juga kemungkinan kita akan mendedahkan mereka di Sepa­nyol atas bantuan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seperti mana ideanya ketika menjadi Presiden FAM sebelum ini,” ujarnya.

Pendekatan yang cuba diketengahkan tersebut adalah salah satu cara untuk mengurangkan kebergantungan pasukan terhadap jurulatih luar kerana ada antara mereka gagal menyumbangkan sesuatu buat pasukan seperti Kelantan yang menerima tempias hebat musim ini.