Kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) Wipers pada aksi MWHL 2019 di Stadium Tun Razak, Jalan Duta sebentar tadi sudah cukup buat TLHT yang sudah tidak dapat dikejar dua pencabar terdekat iaitu juara musim lalu, PKS Uniten dan Blue Warriors.

Tiga gol TLHT sebentar tadi diperoleh menerusi jaringan Siti Rahmah Othman, Fatin Shafika Mahd. Sukri dan Siti Noor Amarina Ruhani.

Ketua jurulatih TLHT, Iman Gobinathan mengingatkan barisan pemainnya agar tidak leka dengan kejayaan tersebut kerana mereka masih mempunyai satu lagi sasaran perlu dipenuhi iaitu bergelar juara Piala Vivian May Soars selepas ini.

“Kami ada baki satu lagi perlawanan liga tetapi ia tidak membawa apa-apa makna kerana kami sudah mengesahkan kejuaraan liga.

“Bagaimanapun, aksi kalah mati selepas ini (Piala Vivian) amat sukar kerana segalanya mustahil buat keempat-empat pasukan yang mara ke separuh akhir.

“Apa sahaja boleh berlaku, jadi saya berharap para pemain dapat mengekalkan momentum semasa dan memberikan persembahan terbaik mereka,” katanya.

Selain TLHT yang merupakan bekas juara berganda dua musim lalu, tiga lagi pasukan mara ke separuh akhir Piala Vivian ialah PKS Uniten, Blue Warriors dan kelab jemputan dari China, Liaoning Infinite Space. - K! ONLINE