Juara Piala TNB musim lalu itu ketika ini mengungguli carta liga dengan 19 mata, cuma berkelebihan satu mata di hadapan pasukan tempat kedua, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan enam mata dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang sedang menduduki tangga ketiga.

Sehubungan itu, Arul menggesa para pemainnya agar bebas daripada penggantungan perlawanan selain masalah kecederaan yang dilihat boleh menjejaskan rentak UniKL dalam baki lima lagi perlawanan sebelum kempen musim ini berakhir.

Tonggak berpengalaman UniKL, Baljit Singh Charun Singh terlepas aksi menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium Tengku Abdullah, Bangi pada Jumaat ini selepas mengumpul lapan mata demerit kerana sudah memungut dua kad hijau dan satu kad kuning.

Arul juga berharap empat pemainnya iaitu dua tonggak import, Kieran Govers dari Belanda dan Valentin Verga (Belanda) selain Faridzul Afiq Mohd. serta Mohamad Sukri Abdul Mutalib tidak dilayankan kad kuning esok selepas kesemuanya sudah memungut satu kad kuning ketika ini.

“Satu lagi kad kuning dikutip oleh mana-mana empat pemain ini bermakna mereka akan berdepan hukuman penggantungan satu perlawanan.

“Saya sentiasa mengingatkan para pemain agar mengawal emosi mereka supaya beraksi dengan tenang walaupun ada pemain lawan melakukan provokasi,” kata Arul. 

Fokus UniKL dalam lima baki saingan liga selepas ini memastikan semuanya berjalan mengikut perancangan terutamanya dari segi penyudah pukulan sudut penalti selain taktikal permainan yang lebih tersusun dan disiplin. - K! ONLINE