Tengku Aidy menegaskan, sukan futsal sudah boleh diangkat sama seperti bola sepak kerana beliau percaya ramai peminat mahu melihat persaingan liga nasional ke arah dunia profesional.

Beliau turut menyambut baik cadangan untuk melaksanakan LFK bermula dengan langkah semi-profesional (semipro) kerana ia mampu menjadi permulaan yang baik bagi industri futsal tempatan.

“Saya setuju jika LFK menjadi semipro. Futsal sudah mendapat perhatian daripada peminat-peminat dan telah membuka mata ba­nyak pihak. Jika kita masih kekal di peringkat amatur, maka (LFK) mungkin dianggap sekadar sukan karnival sahaja.

“Kalau dianjurkan tetapi nampak macam tiada, maksudnya ia tidak meriah, itu namanya buat asalkan ada. Liputan dan publisiti kurang, dibuat macam kejohanan peringkat sekolah. Kadang-kadang kita boleh lihat ‘liga haram’ lebih mendapat perhatian.

“Jadi ini yang kita harap akan dapat diubah dan mengambil langkah menjadikannya sebagai satu pertandingan yang ditunggu-tunggu para peminat.

“LFK perlu distrukturkan semula, format dan sistem pertandingan ketika ini adalah tidak betul. Mungkin di peringkat awal langkah semipro itu bagus tetapi sebenarnya LFK perlu dijadikan sebagai pertandingan liga profesional yang berlangsung sepanjang tahun seperti Liga Super dan Liga Premier dalam bola sepak,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, bekas penolong jurulatih futsal kebangsaan, Addie Azwan Zainal mengakui ia menjadi masa terbaik untuk naik taraf LFK menjadi semipro selepas melihat potensi skuad kebangsaan bermain di peringkat tertinggi.

Ia rentetan keputusan positif pasukan bimbingan Chiew Chun Yong yang layak ke final Sukan SEA Kuala Lumpur (Ogos), final Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (November) disusuli penampilan di pentas Kejuaraan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), baru-baru ini.

Sebagai rekod, LFK merupakan kejohanan tahunan dianjurkan sejak 2004 dan formatnya telah beberapa kali berubah sejak dari sebuah pertandingan yang mempunyai beberapa divisyen dan pernah membabitkan lebih 30 pasukan pada satu ketika.

Ia dihentikan pada 2016, manakala tahun 2017 menyaksikan LFK berlangsung membabitkan sembilan pasukan setelah Sabah membuat keputusan menarik diri.

Dalam perkembangan sama, Tengku Aidy turut berharap pihak-pihak berkenaan memahami kepentingan futsal yang akan turut memberikan peranan dan impak sama penting seperti sukan bola sepak tempatan.

“Kita perlu mengangkat futsal menjadi seperti bola sepak. Futsal mula digilai kerana ia sukan popular di seluruh dunia. Satu-satunya cara adalah merubah mentaliti serta perbanyakkan akademi di sekolah.

“Jika di sekolah sudah ada akademi badminton, bola sepak, taekwondo, karate dan silat. Kenapa tidak futsal? Itu caranya memupuk minat sejak dari usia kecil.

“Saya tahu mereka yang berada dalam jawatankuasa futsal pastinya ada idea tetapi mungkin mereka tidak tahu bagaimana nak melaksanakannya.

“Kita perlukan seseorang untuk merubah landskap futsal tanah air, sama seperti Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengubah landskap bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Baginda tidak sekadar bercakap tetapi membuktikannya,” ujarnya.