Jurulatih peribadi Latif, Mohd. Syahrul Amri Mohd. Suhaimi tidak menjangka rekod dunia baharu mampu tercipta kerana cuma menyasarkan anak di­diknya itu mempertahankan pingat emas dimenangi empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan.

Malah, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu tidak berada dalam keadaan terbaik kerana kecederaan kaki yang dikatakan mampu menjejaskan rentak lompatannya sebelum bertolak ke Jakarta sebelum ini.

“Kami memang bersedia sepenuhnya untuk kejohanan ini kerana matlamat utama ialah mempertahankan pingat emas. Saya terkejut kerana semangat Latif cukup luar biasa hari ini (kelmarin).

“Latif ada beritahu dia sakit lutut sewaktu lompatan ketiga. Ia adalah kece­deraan lama yang berulang, tetapi saya tidak bimbang kerana dia sudah mendahului pencabar-pencabar lain pada lompatan pertama lagi.

“Tiba-tiba Latif hilang rasa sakit, mungkin kerana fokus dan kesungguhan tinggi untuk memberikan lompatan terbaik sehingga berjaya memecahkan rekod dunia pada lompatan terakhir­nya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Atlet dari Bukit Keteri, Perlis itu memperbaharui rekod dunia dengan jarak 7.64 meter (m), memadam catatan lama 7.60m dilakukannya pada Sukan Para­limpik 2016.

Pingat perak lompat jauh T20 Sukan Para Asia 2018 dimenangi atlet Jepun, Kokuba Kanta dengan catatan 6.79m, manakala rakan senegaranya, Yamaguchi Mitsui meraih tempat ketiga (6.68m).

Turut memecahkan rekod dunia kelmarin ialah seorang lagi pemenang pi­ngat emas Sukan Paralimpik 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (cerebral palsy) dengan catatan baharu 11.87 saat (s).

Ridzuan, 31, memadam rekod dunia lama milik atlet Rusia, Evgenii Shvetsov yang mencatatkan 11.90s di Lyon, Perancis lima tahun lalu.