Pengerusi Kejurulatihan dan Latihan BAM, Datuk Ng Chin Chai yang mengesahkan perkara tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan senarai pemain yang digugurkan itu.

Beliau berkata, mereka yang digugurkan terdiri daripada dua pemain perseorangan lelaki, empat pemain beregu lelaki dan dua pemain beregu wanita, manakala empat pemain bersara adalah pemain beregu lelaki dan wanita.

Pemain yang bersara adalah Chooi Kah Ming-Low Juan Shen (beregu lelaki) dan Soong Fie Choo-Tee Jing Yi (beregu wanita).

"Pemain digugurkan itu kerana prestasi mereka setakat itu sahaja. BAM tidak mahu mendedahkan nama yang digugurkan kerana lebih baik jurulatih memaklumkan kepada pemain terlibat. 

"Ia tidak adil, apabila media mendedahkan nama mereka tanpa pengetahuan mereka terlebih dahulu. Kami juga perlu menghormati keluarga pemain yang terlibat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Ng menjelaskan, setakat ini, jumlah pemain dalam skuad kebangsaan adalah 55 orang dan akan bertambah pada hujung tahun ini apabila beberapa pemain pelapis diserapkan.

Bagi pemain yang bersara daripada skuad kebangsaan, beliau berkata, BAM sedia mempertimbangkan permintaan mereka untuk beraksi dalam Kejohanan Grand Prix Gold, namun perlu menepati syarat yang ditetapkan.

Syarat tersebut adalah pemain itu bukan lagi di bawah kendalian BAM, usia pemain perlu dalam lingkungan 25 tahun ke atas dan ranking dunia perlu berada pada kedudukan ke-200 dan ke bawah, katanya.

Sementara itu, Ng memaklumkan, ketua jurulatih beregu negara kini dikendalikan Paulus Firman dari Indonesia, menggantikan Cheah Soon Kit bermula esok. - Bernama