Justeru, Syed Saddiq bercadang untuk melakukan perubahan terhadap Ahli Lembaga SIC dengan meletakkan individu berpengalaman dalam arena sukan permotoran, sekali gus tidak terhad kepada golongan profesional mahupun ahli perniagaan sahaja.

“Bagi membangunkan sukan permotoran, ia bukan sahaja mampu dikecapi daripada golo­ngan keluarga berkemampuan tetapi yang kurang mampu juga perlu diambil kira. Justeru, untuk melibatkan golongan sasaran ini, kita patut berikan tempat yang rasmi.

“Sebelum ini kebanyakan Ahli Lembaga SIC terdiri daripada ahli perniagaan dan korporat. Saya lihat terdapat kekangan di situ terutama penglibatan daripada wakil akar umbi yang patut menjadi sebahagian ahli anggota SIC khususnya pakar bidang sukan permotoran.

“Cadangan terbaik adalah meletakkan komuniti permotoran atau yang mempunyai kepakaran dalam sukan permotoran menjadi sebahagian dalam SIC. Bila sudah ada, mereka boleh struktur sendiri program-program selepas ini,” katanya pada sesi pelancaran Kejuaraan Mini Cub Prix Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya semalam.

Dalam pada itu, Syed Saddiq juga akan mendengar segala cadangan dan pandangan daripada orang awam khususnya komuniti permotoran dalam membangunkan sukan tersebut pada sesi town hall yang dijangka diadakan 2 Oktober depan.

“Pada sesi tersebut, kita akan mendengar segala cadangan dan pandangan daripada SIC mahupun komuniti permotoran. Daripada perbincangan tersebut, KBS akan usahakan yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, Mini Cub Prix KBS Junior julung kali dipertandingkan di Malaysia dan seramai 14 pelumba cilik berusia 12 tahun terpilih untuk beraksi pada perlumbaan lima pusingan yang membuka tirai di MAEPS, Serdang Ahad ini.