Beliau berpanda­ngan, pasukan bola sepak negara wajar mencontohi skuad Samurai Biru dan The Reds yang kini antara pasukan paling berjaya di Asia dengan pelbagai pencapaian termasuk layak beraksi di Piala Dunia.

Menurutnya, pada satu ketika, Malaysia menjadi rujukan Jepun apabila mewujudkan liga semi-pro pada 1989 selama empat tahun sebelum memulakan liga profesional pada 1994, namun kini pasukan Samurai Biru jauh ke depan berbanding skuad negara.

“Bercakap mengenai barisan kejurulatihan...me­ngapa tidak kita cuba menggunakan kepakaran dari Jepun dan Korea Selatan serta bagaimana mereka boleh melakar kejayaan sehingga mara ke pentas Piala Dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penganjuran bola sepak Perpaduan Tujuh Sebelah bawah 12 tahun, Piala Datuk Soh Chin Aun di Bandar Hilir, Melaka semalam.

Turut hadir beberapa le­genda bola sepak tanah air era 1980-an iaitu Datuk Shukor Salleh, Datuk Santokh Singh dan Datuk N. Thanabalan.

Malaysia kini di kedudukan ke-168 dunia dan ke-35 daripada 46 negara Asia yang menyertai kelayakan Piala Dunia 2020 Qatar dan Piala Asia 2023.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Alor Gajah itu berkata, khidmat jurulatih dari kedua-dua negara berkenaan adalah lebih baik berbanding Eropah yang pada pandangannya tidak begitu mementingkan prestasi skuad negara.

“Selepas tiga tahun, mereka akan pulang (ke negara asal) dengan poket yang penuh,” katanya.

Mengenai program itu pula, beliau berkata, ada penambahbaikan dari segi saingan yang dibuka kepada 40 pasukan berbanding ha­nya 32 sebelum ini.

Katanya, kejohanan yang akan berlangsung pada 27 April ini di Stadium Hang Tuah bertujuan mencari bakat di peringkat akar umbi merentasi kaum.

“Kita mahu bola sepak kita macam dulu, ramai pemain dalam kalangan kaum Cina dan India memandangkan ramai bertanya kesukaran mendapatkan pemain ter­babit ketika ini,” katanya. – Bernama